Sunday, April 24, 2011

Dia Bukan Cinta Nombor Satu~


114 Ayat Cinta
Tidak kira di tahap manapun rumah tangga kita; di permulaan, pertengahan atau pengakhiran, marilah bermuhasabah. Apakah rumah tangga kita benar-benar diasaskan oleh cinta kelas pertama atau masih dibelenggu oleh cinta kelas kedua? Jika kelas pertama, syukurlah. Insya-Allah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumah tangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta ini?

Jawapannya mudah. Cuba nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah? Bagaimana dengan solat kita dan anak-anak semua? Bagaimana dengan al-Quran? Sudahkah kedengaran suara kita (ayah ibu) dan anak-anak membaca al-Quran? Jangan jadikan rumah kita kuburan kerana Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa rumah yang penghuninya tidak membaca al-Quran umpama sebuah kubur!
Padahal semasa kita mula membinanya dahulu kita katakan membina masjid. Jika suami atau isteri payah hendak diajak membaca al-Quran, kenapa kita tidak memulakannya dahulu? Ironinya, kita kekadang lebih banyak menatap surat-surat lama pasangan kita semasa hangat bercinta dahulu, konon untuk memperbaharui rasa cinta. Malangnya, ramai yang mengalir air mata, sedih, sayu, pilu apabila mengenangkan kata-kata mesra dan rindu dahulu kini sudah tiada.
Mengapa menanti sesuatu yang tidak tiba? Mengapa merajuk pada yang tidak kasih? Tinggalkan dahulu surat cinta yang lama, carilah semula 114 surat cinta daripada Allah (al-Quran). Siapakah yang dapat menandingi kemesraan, kasih sayang dan cinta Allah buat hamba-Nya yang terpapar dalam 114 surah al-Quran? Bacalah ayat Manzil, al-Ma'thurat, Yasin, al-Mulk atau apa-apa sahaja. Sama ada yang diambil secara bersanad daripada guru-guru yang thiqah ilmunya ataupun sekadar diambil daripada kitab-kitab atau buku-buku yang dipercayai kesahihannya.
Jika tidak mampu baca banyak, bacalah sekadar satu muka surat atau paling lekeh sekadar lima ayat. Tetapi istiqamahkan amalan ini. Barulah syaitan akan kecut untuk menggoda hati ahli keluarga kita supaya terlibat maksiat. Atau mengacah-acah kita dengan prasangka sehingga sering berbalah walaupun dalam soal-soal yang kecil. Bayangkan hanya kerana hendak masak apa hari ini, berebut saluran televisyen atau hanya tersilap istilah atau cakap, sudah bergaduh sampai tinggi-tinggi suara atau pukul-memukul. Ini angkara siapa? Tentu syaitan.
Bentuk Cinta Kelas Pertama
Mengapa syaitan begitu berkeliaran dalam rumah kita? Kerana rumah kita jadi kuburan, bukan jadi masjid. Banyak perkara-perkara mungkar dalam rumah kita yang menyebabkan syaitan suka bertandang. Tapi ingat, syaitan bukan dihalau dengan membaca al-Quran sekali-sekala seperti yang kita lihat "Pak Ustaz" halau hantu dalam drama mistik dan tahyul. Tetapi syaitan dihalau dengan bacaan al-Quran berserta niat zikrullah, hendak diamalkan kehendaknya dan ditinggalkan larangannya.
Jika sekali-sekala terjadi pertembungan antara kehendak Allah dan kehendak isteri atau suami serta anak-anak, yang mana satu didahulukan? Jika didahulukan kehendak mereka, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya, inilah yang banyak berlaku dalam alam berumah tangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai suami isteri berpisah sekalipun mereka saling mencintai. Berpisah bukan kerana mereka tidak cinta, tetapi cinta terpisah kerana mereka memisahkan cinta Allah.
Cinta yang meminggirkan cinta Allah adalah rendah mutunya dan tidak tahan uji.  Cinta kelas kedua itu ialah cinta kelas bawahan. Apabila wajah kendur, cinta luntur. Apabila kemudaan hilang, sayang terus melayang. Sebaliknya cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku kerana tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Cinta di mata boleh dipisahkan oleh jarak dan usia tetapi cinta di hati tidak ada sesiapa yang mampu menjarakkannya, apatah lagi memisahkannya!
Cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak juga, tetapi atas dasar ibadah dan tanggungjawab, cinta dapat dibina semula... terbentur tetapi tidak patah. Genting tetapi tidak putus. Justeru bajailah cinta itu selalu dengan solat, zikir, membaca al-Quran dan sedekah.
Marilah kita saling berpesan demi kebenaran dan kesabaran... jangan membina cinta di dalam kuburan!

No comments: